Bunga Matahari adalah identiti perjuangan Koperasi Dagang Seni Malaysia (KDSM) yang ahli-ahlinya terdiri daripada 90% wanita atau lebih tepat lagi ibu-ibu. Bunga Matahari bukan sahaja cantik kerana bentuk dan warnanya, tetapi sifatnya yang sentiasa menghadap arah yang sama iaitu matahari yang boleh diibaratkan sebagai ahli-ahli KDSM yang mempunyai matlamat yang sama. Mereka inginkan hidup yang lebih selesa dan sempurna untuk anak-anak dan keluarga menggunakan kemahiran menjahit yang mereka miliki.
Pernahkah anda melihat teknik ini?
Tepat sekali. Teknik lipatan kain yang digunakan ada pada alas kaki! Asalkan kreatif teknik yang mudah mampu hasilkan projek jahitan yang amat luar biasa.
Quilt ini merupakan pengalaman pertama saya menghasilkan sebuah projek yang besar. Memang amat mencabar dan menguji kesabaran namun sangat teruja untuk memastikan quilt ini siap. Betapa sukarnya saya yang perlu melipat dan mencantum kepingan kain satu persatu kemudian menjahit beribu-ribu biji manik tapi tidak terbanding rasanya kesukaran serta ketabahan ahli-ahli KDSM berjuang mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak dan keluarga. Semangat ibu-ibu inilah yang menjadikan saya kuat dan kental demi sama-sama memberi sokongan kepada ahli-ahli KDSM.
Mungkinkah sebegini sukar dan tabah ibu mendidik serta membesarkan saya? Oh ibu, perjuangan, kasih sayang, kesanggupan, tanggungjawab dan pelbagai lagi 1001 kisah suka dukamu membesarkanku akan aku kenang. Umpama si Bunga Matahari, akan kupastikan diriku ini bersamamu menyelusuri hari tuamu menuju kebahagiaan. Jasamu ibu akan kubalas!
Oleh : Norfadilawati
No comments:
Post a Comment